Firman Allah yang bermaksud: Katakanlah wahaiMuhammad! Siapakah yang
berani mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkannya untuk
hamba-hamba-Nya dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari
rezeki yang dikurniakannya (al-A’raf: 32).
Firman-Nya lagi
yang bermaksud: Kuda, baghal dan keledai dijadikan untuk kamu
menungganginya dan sebagai perhiasaan (al-Nahl: ayat 8).
Ayat
ini memberi maklum bahawa Allah s.w.t. menjadikan
haiwan,tumbuh-tumbuhan sebagai perhiasaan yang harus dinikmati manusia,
maka berhias dengan barang-barang ini semua adalah harus dalam apa jua
keadaan sekalipun. Kalaupun barang-barang hiasan ini dilarang, maka
larangan itu disebabkan pembaziran, kesombongan yang lahir daripada
penggunaan yang salah dan sebagainya.
Menikmati keindahan ayam
serama, ikan emas dan burung pipit berwarna-warni tidak salah dari segi
pandangan Islam, tetapi hendaknya jangan melampaui batas-batas
kesederhanaan, sehingga mengurangkan barang-barang keperluan hidup yang
sepatutnya dimiliki anak-anak dan keluarga untuk kehidupan mereka.
Jika bunga yang berwarna-warni dalam pasu dan taman-taman harus
dinikmati keindahannya, pokok-pokok yang indah segar harus dimiliki,
sekalipun jika terpaksa mengeluarkan sedikit bayaran. Mengapa keindahan
ayam serama, ikan emas dan burung pipit tidak boleh dinikmati.
Menyekat kebebasan burung dalam sangkar tidak harus menjadi alasan
pengharaman, kerana pokok-pokok bunga juga dikawal kebebasannya dalam
pasu dan bekas-bekas kecil.
Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya
menyebutkan: Bukan semua perkara yang menyenangkan hati itu dibenci
Islam, bukan juga sesuatu yang disukai hati manusia itu buruk, tetapi
dilarang mengambilnya jika syarak melarangnya kerana membawa kepada riak
dan sombong. Insan memang sukakan sesuatu yang indah, suka supaya
dilihat dirinya cantik, oleh itu mencari sesuatu yang disenangi jiwa
tidak dilarang. Seseorang harus menyikat rambutnya dan tidak harus
membiarnya kusut masai, menilik mukanya dalam cermin, membetulkan
serbannya yang tidak cantik dilihat,memakai kain tebal di sebelah dalam
dan memakai yang halus di sebelah luar supaya senang hati orang
melihatnya (Jami’ al-Ahkam, 7/97).
Berpandukan mukadimah ini,
kita dapat menarik kesimpulan, iaituIslam tidak menentang sebarang
perhiasan, perniagaan dan penggunaan barang-barang hiasan. Antara
perhiasan termasuklah ayam serama, burung pipit dan ikan emas yang
dibela untuk hiasan rumah.
Haiwan ini harus dibela, dijual dan diniagakan, tetapi hendaklah dengan syarat-syaratberikut:
1. Tidak bermaksud untuk berbangga dan bermegah-megah, sebagaimana
adat orang mewah dan berada. Hukum pengambilan barang-barang hiasan itu
bergantung kepada niat.
2. Jangan lekakan tanggungjawab kita
kepada Allah seperti solat, tanggungjawab kepada keluarga, disebabkan
oleh pembelaan haiwan dan sesuatu yang berupa hiasan.
3. Jangan cuai melaksanakan tanggungjawab terhadap haiwan yang dipelihara seperti memberinya makan, minum dan keselamatannya.
Dalam sebuah hadis yang sangat popular tentang penyeksaan terhadap
haiwan, baginda rasulullah s.a.w. memberi amaran terhadap seorang wanita
yang memelihara kucing, tetapi tidak memberinya makan minum dan
penjagaannya, lalu ia dimasuk ke neraka atas kesalahan itu.
Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim daripada Anas ibnMalik
r.a. katanya: Baginda rasulullah s.a.w. adalah insan yang paling baik
akhlaknya, baginda selalu datang ke rumahku dan selalu bertanya adikku
Umair. Pada suatu hari, baginda datang dan bertanya: Oh AbuUmair ke mana
perginya burung kecil engkau? Dijawabnya, burung masih dalam
peliharaannya.
Melihat kepada hadis di atas jelas kepada kita
bahawa nabi s.a.w. tidak melarang memelihara burung. Ini menunjukkan
boleh memeliharanya. Jika perkara ini hukumnya haram, nescaya nabi s.a.w
telah melarangnya dan menyuruh melepaskan burung tersebut.
Al-Damiru dalam kitabnya Hayat al-Haiwan menyatakan: Hadis di atas
menjadi dalil harus memelihara burung dan berhibur dengannya. Berkata
Abu al-Abbas al-Qurtubi: Membela burung terpaksa disekat kebebasannya
dalam sangkar. Adapun menyeksa dan memain-mainkannya maka hukumnya
haram, kerana nabi s.a.w. melarang menyeksa haiwan, kecuali kerana
sembelih untuk dimakan sahaja.
Ibn Aqil al-Hanbali melarang
menyekat burung dalam sangkar, kerana cara itu adalah suatu penyeksaan
terhadapnya. Beliau mengambil dalilnyadaripada hadis Abu al-Dard’ r.a.
yang menyatakan: Pada hari kiamat akan datang burung-burung pipit, lalu
membuat aduan kepada Allah, keranamanusia menyeksanya semasa di dunia
dahulu.
Alasan ini dijawab oleh sesetengah ulama, iaitu hadis
ini dituju kepada mereka yang menyeksa dan tidak memberinya makan dan
minum.Al-Qaffal menyatakan, jika haiwan iaitu diberinya makan minum yang
cukup, nescaya harus dibelanya.
Saya lebih cenderung kepada
pendapat al-Damiri yang mengharuskan bela burung, ayam dan ikan untuk
hiasan, dengan syarat hendaklah dijaga dengan cukup makan minum dan
keselamatannya. Wallah a’lam.