Digelar Aristotle kedua.
Tulisan ahli falsafah Yunani seperti Plato dan Aristotle mempunyai pengaruh yang besar terhadap pemikiran ahli falsafah Islam. Salah seorang ahli falsafah Islam yang terpengaruh dengan pemikiran kedua tokoh tersebut ialah Al-Farabi.
Nama
sebenarnya Abu Nasr Muhammad Ibnu Muhammad Ibnu Tarkhan Ibnu Uzlaq Al
Farabi. Beliau lahir pada tahun 874M (260H) di Transoxia yang terletak
dalam Wilayah Wasij di Turki. Bapanya merupakan seorang anggota tentera
yang miskin tetapi semua itu tidak menghalangnya daripada mendapat
pendidikan di Baghdad. Beliau telah mempelajari bahasa Arab di bawah
pimpinan Ali Abu Bakr Muhammad ibn al-Sariy.
Selepas
beberapa waktu, beliau berpindah ke Damsyik sebelum meneruskan
perjalanannya ke Halab. Semasa di sana, beliau telah berkhidmat di
istana Saif al-Daulah dengan gaji empat dirham sehari. Hal ini
menyebabkan dia hidup dalam keadaan yang serba kekurangan.
Al-Farabi
terdidik dengan sifat qanaah menjadikan beliau seorang yang amat
sederhana, tidak gilakan harta dan cintakan dunia. Beliau lebih
menumpukan perhatian untuk mencari ilmu daripada mendapatkan kekayaan
duniawi. Sebab itulah Al-Farabi hidup dalam keadaan yang miskin sehingga
beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada tahun 950M (339H).
Walaupun
Al-Farabi merupakan seorang yang zuhud tetapi beliau bukan seorang ahli
sufi. Beliau merupakan seorang ilmuwan yang cukup terkenal pada
zamannya. Dia berkemampuan menguasai pelbagai bahasa.
Selain
itu, dia juga merupakan seorang pemuzik yang handal. Lagu yang
dihasilkan meninggalkan kesan secara langsung kepada pendengarnya.
Selain mempunyai kemampuan untuk bermain muzik, beliau juga telah
mencipta satu jenis alat muzik yang dikenali sebagai gambus.
Kemampuan
Al-Farabi bukan sekadar itu, malah beliau juga memiliki ilmu
pengetahuan yang mendalam dalam bidang perubatan, sains, matematik, dan
sejarah. Namun, keterampilannya sebagai seorang ilmuwan yang terulung
lebih dalam bidang falsafah. Bahkan kehebatannya dalam bidang ini
mengatasi ahli falsafah Islam yang lain seperti Al-Kindi dan Ibnu Rusyd.
Dalam
membicarakan teori politiknya, beliau berpendapat bahawa akal dan wahyu
adalah satu hakikat yang padu. Sebarang percubaan dan usaha untuk
memisahkan kedua-dua elemen tersebut akan melahirkan sebuah negara yang
pincang serta masyarakat yang kacau-bilau. Oleh itu, akal dan wahyu
perlu dijadikan sebagai dasar kepada pembinaan sebuah negara yang kuat,
stabil serta makmur.
Al-Farabi banyak mengkaji mengenai falsafah dan teori Socrates, Plato, dan Aristotle
dalam usahanya untuk menghasilkan teori serta konsep mengenai
kebahagiaan. Maka tidak hairanlah, Al-Farabi dikenali sebagai orang yang
paling memahami falsafah Aristotle. Dia juga merupakan seorang yang
terawal menulis mengenai ilmu logik Yunani secara teratur dalam bahasa
Arab.
Meskipun
pemikiran falsafahnya banyak dipengaruhi oleh falsafah Yunani tetapi
beliau menentang pendapat Plato yang menganjurkan konsep pemisahan dalam
kehidupan manusia.
Menurut
Al-Farabi, seorang ahli falsafah tidak seharusnya memisahkan dirinya
daripada sains dan politlk. Sebaliknya perlu menguasai kedua-duanya
untuk menjadi seorang ahli falsafah yang sempurna.
Tanpa
sains, seorang ahli falsafah tidak mempunyai cukup peralatan untuk
diekspolitasikan untuk kepentingan orang lain. Justeru, seorang ahli
falsafah yang tulen tidak akan merasai sebarang perbezaan di antaranya
dengan pemerintah yang tertinggi kerana keduanya merupakan komponen yang
saling lengkap melengkapi. Dalam hal ini beliau mencadangkan agar
diwujudkan sebuah negara kebajikan yang diketuai oleh ahli falsafah.
Pandangan
falsafahnya yang kritikal telah meletakkannya sebaris dengan ahli
falsafah Yunani yang lain. Dalam kalangan ahli falsafah Islam, beliau
juga dikenali sebagai Aristotle kedua. Bagi Al-Farabi, ilmu
segala-galanya dan para ilmuwan harus diletakkan pada kedudukan yang
tertinggi dalam pemerintahan sesebuah negara.
Pandangan
Al-Farabi ini sebenarnya mempunyai persamaan dengan falsafah dan ajaran
Confucius yang meletakkan golongan ilmuwan pada tingkat hierarki yang
tertinggi di dalam sistem sosial sesebuah negara.
Di
samping itu, Al-Farabi juga mengemukakan banyak pandangan yang
mendahului zamannya. Antaranya beliau menyatakan bahawa keadilan itu
merupakan sifat semula jadi manusia, manakala pertarungan yang berlaku
antara manusia merupakan gejala sifat semula jadi tersebut.
Pemikiran,
idea, dan pandangan Al-Farabi mengenai falsafah politik terkandung
dalam karyanya yang berjudul "Madinah al-Fadhilah". Perbicaraan mengenai
ilmu falsafah zaman Yunani dan falsafah Plato serta Aristotle telah
disentuhnya dalam karya " Ihsa* al-Ulum" dan "Kitab al-Jam".
Terdapat
dua buku tidak dapat disiapkan oleh Al-Farabi di zamannya. Buku-buku
itu ialah "Kunci Ilmu" yang disiapkan oleh anak muridnya yang bernama
Muhammad Al Khawarismi pada tahun 976M dan "Fihrist Al-Ulum" yang
diselesaikan oleh Ibnu Al-Nadim pada tahun 988M.
Al-Farabi
juga telah menghasilkan sebuah buku yang mengandungi pengajaran dan
teori muzik Islam, yang diberikan judul "Al-Musiqa" dan dianggap sebagai
sebuah buku yang terpenting dalam bidang berkenaan.
Sebagai
seeorang ilmuwan yang tulen, Al-Farabi turut memperlihatkan
kecenderungannya menghasilkan beberapa kajian dalam bidang perubatan.
Walaupun kajiannya dalam bidang ini tidak menjadikannya masyhur tetapi
pandangannya telah memberikan sumbangan yang cukup bermakna terhadap
perkembangan ilmu perubatan di zamannya.
Salah
satu pandangannya yang menarik ialah mengenai betapa jantung adalah
lebih penting berbanding otak dalam kehidupan manusia. Ini disebabkan
jantung memberikan kehangatan kepada tubuh sedangkan otak hanya
menyelaraskan kehangatan itu menurut keperluan anggota tubuh badan.
Sesungguhnya
Al-Farabi merupakan seorang tokoh falsafah yang serba boleh. Banyak
daripada pemikirannya masih relevan dengan perkembangan dan kehidupan
manusia hari ini. Sementelahan itu, pemikirannya mengenai politik dan
negara banyak dikaji serta dibicarakan di peringkat universiti bagi
mencari penyelesaian dan sintesis terhadap segala kemelut yang berlaku
pada hari ini.